INFO – KENALI LATAR BELAKANG MUHYIDDIN YASSIN, PERDANA MENTERI MALAYSIA

Sejarah Ringkas

Tan Sri Muhyiddin Yassin, 73 tahun, ialah Ahli Parlimen P143 Pagoh sejak 1978 hingga 1986 dan pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan serta Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri dalam tempoh tersebut.

Kemudiannya beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor daripada tahun 1986 hingga 1995 sebaik dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang.

BACA LANJUT: Senarai Penuh Bantuan Covid-19 Di Malaysia Di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin 2020

Selepas itu Tan Sri Muhyiddin kembali berkhidmat dengan kerajaan persekutuan sebaik terpilih semula sebagai Ahli Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum 1995.

Pada Pihan Raya Umum ke-14 lalu, beliau turut terpilih sebagai (ADUN) N09 Gambir. Tan Sri Muhyiddin kini menyandang jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU). Selepas PRU14 beliau dilantik menerajui Kementerian Dalam Negeri. 

Tan Sri Muhyiddin pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-10 semasa menganggotai Jemaah Menteri pada 2013.

Sebelumnya, sejak tahun 1995 hingga 2015, beliau menyandang beberapa jawatan termasuk sebagai; Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pelajaran dan Menteri Pendidikan I. 

Tan Sri Muhyiddin berkahwin dengan Puan Sri Hajjah Noorainee Abdul Rahman pada 22 September 1972 dan dikurniakan 4 cahaya mata. Diperingkat awal kerjayanya di sektor awam, bermula sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Bahagian Latihan dan Biasiswa) pada 1970 dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Daerah Muar pada 1974.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting sektor korporat di beberapa anak syarikat pelaburan kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor Darul Takzim (PKENJ); kini Perbadanan Johor (JCorp) sejak 1974 hingga 1978. 

Tan Sri Muhyiddin menyertai BERSATU sejak September 2016 dan dilantik sebagai Presiden BERSATU dan Ketua BERSATU Bahagian Pagoh pada tahun sama. Tan Sri Muhyiddin sebelum ini pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional dari tahun 2009 hingga tahun 2015. 

JOM BACA: 10 Perkara Tentang Menteri Kewangan, Tengku Dato Seri Zafrul

Pada 1 Mac 2020, Tan Sri Muhyiddin telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan. 

YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin
Perdana Menteri Malaysia ke-8
(1 Mac 2020– kini)

KELUARGA DAN PENDIDIKAN AWAL

Dilahirkan pada 15 Mei 1947, di Muar, bapa Tan Sri Muhyiddin iaitu Muhammad Yassin Muhammad, ialah seorang ulama yang amat dikenali di Bandar Maharani, Muar, sementara ibunya ialah Khadijah Kassim.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani, Muar dan Sekolah Kebangsaan Ismail, Muar, Tan Sri Muhyiddin seterusnya ke Sekolah Tinggi Muar.

Tan Sri Muhyiddin telah menyambung pengajian di pertingkat tinggi di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hingga berjaya memperoleh Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu pada tahun 1971.

Bantuan Khas Kewangan (Prihatin 2020): RM500 Untuk Penjawat Awam Dan Pesara –>

Sejurus memperoleh ijazahnya, suami kepada Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, dan juga bapa kepada empat orang anak itu, berkhidmat sebagai penjawat awam dan banyak memegang jawatan di pelbagai syarikat milik kerajaan negeri.

LANGKAH MULA DALAM POLITIK

Penglibatan awal dalam politik bermula sejak menyertai UMNO sebagai ahli biasa di bahagian Pagoh pada tahun 1971. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pemuda UMNO Pagoh seterusnya Setiausaha di bahagian itu pada 1976.

Pada tahun 1978, beliau dilantik sebagai Ahli Parlimen Pagoh. Sepanjang menjalankan khidmat sebagai Ahli Parlimen, Tan Sri Muhyiddin pernah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen kepada Kementerian Hal Ehwal Luar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan seterusnya Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri.

PORTFOLIO DALAM POLITIK

Sejak dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh pada 1984, laluan politiknya dalam UMNO Johor semakin meningkat – daripada menjadi Ahli Majlis Eksekutif negeri, hinggalah menjadi Ketua UMNO Johor seterusnya Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995.

Tan Sri Muhyiddin juga pernah memegang portfolio penting di peringkat Persekutuan iaitu sebagai Menteri Belia dan Sukan (1995–1999), Menteri Perdagangan Tempatan dan Hal Ehwal (1999–2004), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004–2008) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2008–2009).

Pada tahun 2009, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PERJALANAN BERSAMA BERSATU

Pada Ogos 2016, Tan Sri Muhyiddin mendaftarkan parti politik baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad. Tan Sri Muhyiddin menjadi Presiden parti itu sementara Tun Dr Mahathir bertindak sebagai Pengerusi.

Ketika itu juga Tan Sri Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden Pakatan Harapan.




Syarat-Syarat Bantuan Prihatin RM3000 Untuk Setiap Pengusaha PKS Mikro

PERJALANAN DILANTIK MENJADI PERDANA MENTERI KE-8

Pada 24 Februari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima peletakan jawatan tersebut, tetapi kemudian berkenan melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, sementara menunggu pelantikan perdana menteri baharu.

Bagi tujuan itu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan seramai 221 Ahli Parlimen untuk menghadap Baginda pada 25 dan 26 Februari bagi memaklumkan siapa calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Bagaimanapun, selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Dr Mahathir mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mendapati tiada calon pilihan majoriti yang mampu diangkat sebagai Perdana Menteri seterusnya.

Justeru, pada 28 Februari pula, pihak Istana Negara memaklumkan akan menghubungi Ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat, bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri ke-8.

Dalam pencalonan itu, Tan Sri Muhyiddin dilaporkan mendapat pencalonan tertinggi mendahului kiraan sokongan ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Sokongan itu diterjemah melalui sokongan sejumlah 97 ahli Parlimen daripada enam parti, iaitu Bersatu (36), UMNO (39), Pas (18), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1).

Pada pagi 29 Februari, Tan Sri Muhyiddin mengesahkan mengetuai Perikatan Nasional ke Istana Negara bagi mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada kira-kira jam 4.40 petang, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.




SUMBANGAN BESAR DI DALAM MENANGANI PENULARAN WABAK COVID-19

Cabaran besar bagi tahun 2020 apabila seluruh dunia diserang dengan pandemik iaitu kejadian wabak besar-besaran yang dikenali sebagai coronavirus atau COVID-19.

Ia bukan sahaja melumpuhkan kesihatan manusia di setiap negara malah menjejaskan ekonomi dunia. Ini kerana negara yang terlibat adalah kuasa-kuasa besar dan pemegang ekonomi utama dunia.

Malaysia juga turut terlibat dalam krisis yang dihadapi dunia ini. Justeru kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri juga telah merangka bantuan-bantuan khusus kepada rakyat Malaysia untuk menangani kesan COVID-19 ini.

Antara tindakan awal yang diambil oleh beliau adalah dengan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020. Pakej rangsangan ini dirangka berteraskan tiga strategi utama iaitu menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.

Langkah yang lebih khusus adalah memperbaiki aliran tunai perniagaan yang terjejas, merangsang penggunaan dan perbelanjaan swasta serta menggiatkan aktiviti pelaburan domestik di samping langkah proaktif yang telah diambil kerajaan, sektor swasta juga disaran untuk turut serta menggalas tanggungjawab dan menjalankan peranan untuk membantu memacu semula ekonomi negara.

Antara sektor swasta yang telah tampil dalam memberi bantuan termasuklah institusi-institusi perbankan di Malaysia. Bank Negara juga telah mengumumkan penawaran moratorium bagi pelanggan-pelanggan yang terkesan akibat COVID-19 sama ada individu mahupun pemilikan perniagaan.




Cara Mohon Telefon Bimbit Percuma Untuk Anak-Anak Keluarga B40 Belajar Dirumah, Ditaja Yayasan YTL –>

Selain kerajaan persekutuan, agensi-agensi kerajaan, kerajaan negeri, Majlis Agama Islam, NGO dan wakil rakyat turut bekerjasama dalam membantu menangani kesan COVID-19.

Melalui peruntukan kerajaan negeri masing-masing, bantuan termasuklah bayaran kepada pesakit yang positif COVID-19, bantuan kewangan kepada penjaja dan peniaga kecil, pengecualian bayaran sewa kepada premis perniagaan dan pelbagai lagi inisiatif lain.

Semuanya adalah untuk membantu mereka yang terkesan akibat COVID-19 sekaligus memulihkan ekonomi negara pada masa hadapan ekoran penularan wabak Covid-19.

Inilah antara sumbangan besar Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia di saat negara sedang berhadapan waktu sukar ekoran penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan bagi mengekang wabak yang sangat berbahaya ini.

Semoga dengan bantuan yang disediakan oleh pihak kerajaan ini akan dapat meringankan beban rakyat dan kita seharusnya berbangga kerana mempunyai pemimpin yang hebat serta dapat menerajui negara.

Setinggi perhargaan kepada Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri Malaysia di atas keprihatinan serta tanggungjawab yang dilaksanakan kepada hampir 34 juta rakyat Malaysia.

Alhamdulillah..

Sumber: MyGoverment, Gempak