INFO PENTING PENGUMUMAN PERDANA MENTERI BERKAITAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP 2.0)

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

Perintah itu membabitkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu PKP ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

“Kedua, PKP Bersyarat (PKP-B) ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: Semakan BPN 2.0 Fasa 2: Jumlah & Tarikh Bayaran (Januari 2021)

“Manakala, ketiga, PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam Perutusan Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan di stesen televisyen, hari ini.

Menurutnya, negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Katanya, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

BERIKUT ADALAH PERKARA-PERKARA PENTING DARIPADA PENGUMUMAN PERDANA MENTERI.

1. Enam negeri PKP ialah – Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

2. Enam negeri PPKB ialah – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

3. Dua negeri PKPP ialah – Perlis dan Sarawak.

4. Semua aktiviti sosial melibatkan perkumpulan beramai-ramai di negeri kategori PKP dan PKPB tidak dibenarkan.

5. Aktiviti sosial di negeri PKPP dibenarkan dengan syarat pematuhan SOP yang ketat.

6. Pergerakan rentas negeri di seluruh negara tidak dibenarkan sama sekali.

7. Pergerakan rentas daerah di negeri PKP tidak dibenarkan sama sekali.

8. Pergerakan bagi rakyat di negeri PKP hanya dibenarkan dalam radius 10 kilometer sahaja.

9. Hanya dua anggota isi rumah dibenarkan keluar membeli barangan keperluan menaiki kenderaan yang sama.

10. Individu yang melanggar arahan PKP boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

BACA: PKP 2.0: Teks penuh perutusan khas Perdana Menteri

PKP: PERGERAKAN RENTAS NEGERI SELURUH NEGARA DILARANG

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa Rabu ini, pergerakan rentas negeri di seluruh negara adalah tidak dibenarkan sama sekali, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau berkata, bagi enam negeri yang diletakkan di bawah kategori PKP, pergerakan rentas daerah adalah tidak dibenarkan sama sekali. Negeri PKPB dan PKPP, pergerakan negeri tidak dibenarkan.

“Bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan anda adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja. Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama,” katanya dalam Perutusan Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan di stesen televisyen, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

PKP: PELAJAR DUDUKI PEPERIKSAAN UTAMA DI NEGERI PKP DIBENARKAN KE SEKOLAH

Calon peperiksaan utama terutama di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi sesi 2020 dan 2021 dibenarkan hadir ke sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperincikan SOP ini,” katanya dalam Perutusan Khas PKP, hari ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata, bagi aktiviti keagamaan, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan PKP dengan jumlah maksimum lima orang.

“Bagi negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, aktiviti keagamaan masih dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum yang ditetapkan dalam SOP.

“Pihak berkuasa agama negeri disaran untuk memberi penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan,” katanya.

PKP: LIMA SEKTOR EKONOMI (ESSENTIAL ECONOMIC) PERLU DIBENARKAN BEROPERASI

Hanya lima sektor dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilihan sektor itu kerana peranannya menyokong kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri selain kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan.

Katanya, ia juga untuk aktiviti perdagangan antarabangsa, memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan.

“Bagaimanapun, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat, manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing.

“Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja.

“Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,” katanya dalam Perutusan Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang disiarkan menerusi stesen televisyen, hari ini.

Muhyiddin berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan jenis-jenis perkhidmatan yang disenaraikan sebagai sektor ekonomi essential, manakala kementerian itu akan bersama Kementerian Kerja Raya untuk memperincikan butiran kerja pembinaan yang dibenarkan beroperasi.

Katanya, arahan bekerja dari rumah akan berkuat kuasa bagi sektor atau perkhidmatan yang tidak disenaraikan sebagai perkhidmatan essential.

“Semua majikan mesti mematuhi arahan ini untuk mengurangkan pergerakan di dalam komuniti, terutamanya di kawasan yang berkepadatan tinggi. Hanya dengan langkah ini, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 di tempat kerja,” katanya.

COVID-19: MALAYSIA TERIMA VAKSIN PFIZER PADA HUJUNG FEBRUARI

Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin Pfizer untuk fasa pertama pada hujung Februari ini.

Perdana Menteri berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membangunkan Pelan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin COVID-19 kepada rakyat berjalan lancar apabila bekalan diperolehi.

“Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70 peratus atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu dberikan vaksin COVID-19.

“Buat masa ini, kerajaan telahpun menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus liputan populasi.

Malaysia terima vaksin Pfizer pada hujung Februari - PM

“Kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta,” katanya di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kerajaan akan memastikan hanya vaksin yang memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftarkan dan digunakan di Malaysia.

“Proses penilaian ini dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Produk Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin COVID-19 tersebut boleh digunakan di Malaysia,” ujar beliau lagi.

Sumber: Astro Awani