INFO: DANA KHAS MAIPk – BANTUAN PKP 3.0 NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, susulan arahan PKP 3.0, memahami kesan langsung yang menjejas hidup rakyat terutama dalam kalangan asnaf fakir-miskin dan mereka yang tidak berpendapatan tetap.

Baginda turut memahami tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan yang memerlukan peralatan rawatan dan perubatan tertentu untuk menangani wabak; Baginda juga peka terhadap kebajikan para petugas pasukan keselamatan yang sedang berada di barisan hadapan.

Dengan itu, Baginda menitahkan agar Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak menyediakan dana khas bantuan untuk tujuan-tujuan berikut:

BACA ARTIKEL SEBELUM INI: GKP 3.0 – Semakan Status & Bayaran RM1000 (Fasa 1) Mulai 8 Jun 2021

  • Bantuan kelangsungan hidup untuk meringankan kesulitan yang sedang dihadapi oleh rakyat jelata yang kehilangan sumber pendapatan.
  • Tajaan pembelian peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera.
  • Bantuan pakej tablet dan data Internet kepada usahawan kalangan asnaf dan para pelajar daripada keluarga miskin.
  • Bantuan kepada pelajar di sekolah/pusat tahfiz, institut pengajian tinggi dan di luar negara.
  • Peruntukan untuk kebajikan para petugas keselamatan di barisan hadapan.
  • Bantuan kepada rumah-rumah anak yatim, rumah orang tua, warga emas dan pusat gelandangan.
  • Peruntukan untuk mempercepatkan program vaksinasi kepada kumpulan sasar yang perlu diutamakan.

Dana khas yang telah Baginda perkenankan berjumlah RM14,606,000.00 (Ringgit: empat belas juta, enam ratus enam ribu) bertujuan membiayai keperluan-keperluan berikut:

  1. Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup; RM10,900,000.00 Untuk ketua isi rumah (KIR) dan penerima bantuan kewangan bulanan MAIPK yang terjejas sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, tidak dapat menjalankan perniagaan, diberi cuti tanpa gaji kerana majikan menghentikan operasi atau atas sebab-sebab lain yang munasabah.
  2. Tajaan Peralatan Kesihatan dan Perubatan; RM606,000.00 Berbentuk tajaan peralatan rawatan dan perubatan yang diperlukan segera oleh Jabatan Kesihatan Perak bagi kegunaan petugas medan di barisan hadapan.
  3. Sumbangan untuk Petugas Barisan Hadapan Covid-19; RM400,000.00 Disalurkan melalui agensi-agensi berkaitan untuk keperluan kebajikan petugas-petugas barisan hadapan.
  4. Bantuan pakej tablet dan data Internet untuk menjalankan aktiviti perniagaan secara atas talian dan pelajar sekolah; RM1,500,000.00 Pemberian tablet dan data internet kepada usahawan daripada kalangan asnaf untuk menjalankan perniagaan secara atas talian; juga kepada pelajar tingkatan 5 daripada kalangan ketua isi rumah fakir-miskin.
  5. Bantuan Kebajikan Pelajar Luar Negara; RM200,000.00 Untuk mahasiswa/mahasiswi Negeri Perak yang sedang berada di luar negara (Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain negara).
  6. Sumbangan untuk Pusat Jagaan Anak Yatim, Rumah Orang Tua dan Warga Emas Islam; RM400,000.00 Bantuan operasi pusat-pusat jagaan anak yatim, orang tua dan warga emas.
  7. Tajaan Bekalan Makanan Institusi Pendidikan; RM200,000.00 Disediakan rizab untuk mahasiswa/mahasiswi di institusi pengajian tinggi dan pelajar-pelajar di sekolah/maahad tahfiz di negeri Perak yang perlu menginap di tempat pengajian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
  8. Sumbangan ke Pusat Gelandangan Sementara di bawah Kendalian Kerajaan Negeri Perak; RM 200,000.00. Membiayai keperluan asas penjagaan diri dalam bentuk alat kebersihan dan kesihatan, bahan ubatan serta makanan tambahan, semasa individu berada di pusat gelandangan.
  9. Program Vaksinasi Covid-19 MAIPk RM200,000.00. Disediakan rizab untuk membiayai belanja vaksinasi kepada kumpulan yang dikenal pasti perlu disegerakan mendapat vaksinasi.

MAIPk turut memberikan pengecualian bayaran sewa dan pajakan hartanah wakaf berjumlah RM98,000.00 dan hartanah baitulmal berjumlah RM50,000.00 di premis dan tapak perniagaan MAIPK bagi bulan Jun 2021.

MAIPk akan mengkaji tempoh pengecualian bayaran sewa dan pajakan, tertakluk sama ada tempoh PKP 3.0 akan dilanjutkan.

Nota: Bagi anda yang ingin dapatkan pelbagai maklumat terkini terutama berkaitan bantuan kerajaan dan info-info berguna, sila ikuti group telegram kami di https://t.me/joinchat/VkYkA8svZj3WB3hD.